Posted by: thelope | June 1, 2015

Cinta tak perlu kata kata

Karim Bulat melihat orang kaya berkahwin dalam rancangan raikan cinta di TV. Pelamin sahaja mahu menjangkau 30 ribu. Baju, makan dan dewan juga hampir 100 ribu. Bunga bunga hidup, door gift dan hantaran turut dibayar puluhan ribu. Alangkah hebatnya mereka meraikan cinta berbanding dirinya dulu hanya bersanding di bawah pohon rambutan dan duduk di kerusi yang dipinjam dari balairaya.

Tapi bagi Karim Bulat, dia suami isteri meraikan cinta sebenar di dalam jiwa, kalbu dan nurani kerana cinta tak perlu kata kata.

Posted by: thelope | January 28, 2015

perjalanan yang menonong

Saya sudah lama tidak menulis. Ternyatalah semenjak kebelakangan ini rutin sudah berubah. Untuk sendirian bersenang lenang, termenung, bermuhasabah dan berenak enak dengan kalbu sendiri mungkin tidak akan tercapai. Seperti arus sungai yang laju di musim bah, begitu jugalah hidup dipacu, hatta untuk menoleh kekiri kanan pun adakalanya tidak sempat, perjalanan menonong satu hala.

Posted by: thelope | August 18, 2014

Musim hujan dah nak tiba.

Hj Bahrom memang orang tua yang dihormati di kawasan kediaman flat kos rendah itu. Selain bilal, dia juga adalah amil tetap setiap ramadhan. Jika Imam Maarof tiada maka dialah yang mengepalai majlis doa selamat, majlis cukur jambul, majlis kenduri arwah, majlis berkhatan malah majlis nikah kahwin jugak. Selalu bila lepas asar dia akan singgah sebentar di warung Hamid untuk pekena tea tarik yang katanya, selain teh tarik Cina Huat di kampungnya dulu, tea tarik Hamid jatuh nombor dua dari segi ‘kaw’nya. Adunan susu dan pati tea cap harimau mengeliat yang dijerang terlebih dahulu begitu kena dengan anak tekaknya hingga dia berfikiran kalau setakat tea mamak yang bersepah sepah tu…jauh benar feel nya.

Maka ketika petang merangkak dan angin sepoi sepoi melilau, pekena tea di bawah pokok ceri di warung Hamid adalah saat yang sukar ditolak. Jika ada Ghazali Posmen dan Baktiar Greaser maka selalu sajalah perbualan menjadi panas akibat meleret ke cerita politik. Bab politik, Hj Bahrom memang emosional, baginya, fahamannya memang satu satunya jalan betul dan ini harus diterima tanpa ada bangkangan namun sebagai orang muda, Baktiar memang jarang bersetuju, samaada dia memang punya anutan yang berbeza atau dia sengaja suka mengusik Hj Bahrom, tidaklah pasti.

“Arab memang payah nak bersatu, tidak ada jalan” kata Hj Bahrom merujuk kepada penduduk Gaza yang terus dibunuh.

“Mereka sangat ego, banyak fahaman, banyak mazhab, keras kepala, puak puak yang tak boleh dipujuk” katanya lagi.

“Tak payahlah bercerita tentang arab, hajii…” kata Baktiar.

“PAS dgn UMNO pun tak boleh bersatu, kalau Arab tu iyelah banyak masaalah, tapi ini PAS dok mengungkit cerita lama konon dulu kena tipu…konon dah serik” sambung Baktiar sambil mengetik puntung rokoknya laju kelongkang.

Melihat muka Hj Bahrom bertukar merah, cepat cepat Ghazali Posmen menukar tajuk.

“Wahh…musim hujan nak datang nii…tengok, semut semut dah naik ke tiang..”. Kata Ghazali Posmen.

Memang kelihatan dari sudut belah Kelana Jaya, awan hitam muncul sedikit sedikit seperti warna warna air yang rawan.

 

Posted by: thelope | August 15, 2014

Sidang di bawah pohon ceri nan rendang.

Bekas Greaser enjin kapal bernama Bakhtiar itu akhirnya bercakap juga setelah dirasakanya provokasi provokasi yang muncul bersimpang siur melewati peserta sidang mesyuarat bawah pokok ceri itu seakan mengasaknya untuk turut serta memberikan pendapat.
“beginilah”. katanya membuka bicara.
“aku setuju jika nama “Pakatan Rakyat” itu ditukar kepada “Pakatan Pelawak”. Sambungnya.

Muka Hj Bahrom yang bulat, yang menjadi lebih bulat dengan ketayap lembutnya kini bertukar menjadi kedut seribu. Dia melihat wajah Bakhtiar atas bawah atas bawah.

Posted by: thelope | June 16, 2014

Syaaban dan janji janji terdahulu

Ketika matahari tengahari yang memijar itu melewati zone menegak dan mula mencondong, Abu Saamah sudah mula berkemas, pinggan mangkuk yang bertimbun hampir siap dibasuh. Kerusi sudah dinaikan ke muka meja, kertas pembalut, plastik, kotak tisu disimpan digerobok dalam ruang yang bergrill. Puntung puntung rokok yang berkeladak di dalam ash tray sudah dibuang ke longkang besar. Ketika itu angin dari padang bola menyusup, terasa dingin dan tusukan angin itu menjatuhkan beberapa kelopak bunga kertas warna jingga yang ditanam bersusun susun di dalam pasu berderet di tepi longkang besar.

Abu Saamah kemudian duduk seketika sambil mencabut sebatang rokok Gudang Garam, dia melekatkan rokok tersebut dijuih bibirnya yang legam. Memebakarnya, menyedut dengan dalam dan kemudian melepaskan gerombolan asap kembali ke udara. Dia melihat petang mula mengetuk pintu. Azan asar akan melewati cerobong rumah pangsa itu bila bila masa saja.

Tiba tiba kedamaian yang sebentar itu berderai dengan laungan seseorang yang berlari pantas menuju ke warungnya. Sambil tercungap cungap Wak Kari menuturkan bahasa telo jawanya sepatah sepatah kepada Rosman. lantunan suara Wak Kari itu seperti seketul demi seketul batu menghentam ke kepalanya. Kepala Abu Saamah seperti mula berpusing pusing, dia melihat pisang yang tersangkut seperti berbuai laju, dia melihat awan tiba tiba berbondong bondong ke utara dan ke selatan, dia melihat rumah pangsa agam 17 tingkat itu menjadi dua dan tiba tiba menjadi tiga, dia memegang tiang warungnya dan mengelonsor jatuh terjelepak, alam menjadi hitam dan terus terpadam. Binar.

Posted by: thelope | June 6, 2014

Petang yang mendera

Petang memang agak sibuk. Sungai Ara airnya mengalir deras. Rosman duduk di atas motosikalnya sambil memerhati sekelian perempuan yang pulang ke blok H. Burung gagak yang bertenggek di atas tiang lampu memerhatikan Rosman dengan curiga.

Rosman menunggu Samsiah sebenarnya. Dia menunggu ibu tunggal itu pulang dari kerja saban petang. Dia sudah jatuh cinta barangkali dan yang mencabarnya, Samsiah tidak pernah peduli. Seperti tidak tahu, seperti Rosman tidak pernah wujud. Seperti Rosman hanya bagai tiang lampu.

Kalaulah…Samsiah melihat padanya dan tersenyum…kalaulah itu berlaku, Rosman akan segera menghitung hari untuk menamatkan zaman dudanya. Dia mahu ada perempuan yang mengisi hari-harinya. Dia akan bekerja bersungguh sungguh, kalau pendapatan sebagai jaga pasaraya tidak memungkinkan Samsiah gembira, dia akan meminta untuk bekerja part time dengan Buyung sebagai pencuci keretapi di depot setiap malam….janji kau ada Samsiah!.

Posted by: thelope | May 17, 2014

Lif rosak dan bangkai motosikal di tingkat 13.

Untuk melengkapkan syarat dianugerahkan sarjana, Kudin Mahmudiah memilih untuk membuat kajian tentang budaya berfikir dan persepsi terhadap hidup dikalangan penghuni Projek Perumahan Rakyat Lembah Limbungan (PPRLL). “wah..tajuk yang menarik” kata Dr Ramasamy ketika melihat proposal yang dihantar Kudin Mahmudiah.

“you akan masuk ke dunia yang sedikit lain, dunia kehidupan yang tercipta dari kisah kisah silam yang menawan, dunia yang bolak balik penuh anika warna” kata Dr Ramasamy lagi.

Di dalam kepala Kudin Mahmudiah, dia telah berkira kira untuk memilih PPRLL sebagai medan tempurnya. Dia melihat kehadapan, di redup bayang flat kos rendah 16 tingkat itu, dia akan cuba bernafas sama seperti bahan kajiannya.

Posted by: thelope | May 1, 2014

Persepsi

Saya selalu bilang kepada Aisyah bahawa persepsi dan judgement adalah dua perkara yang tak mungkin sama. Dan… dua perkara itu sangat penting kerana titik kita bertolak dalam mengemudi harapan dan impian bermula dari situ.

Posted by: thelope | April 28, 2014

MH370

Sudah lebih 50 hari kapalterbang besar ini hilang. Hilang dengan ratusan manusia di dalamnya. Entah dimana mereka, entahkan di perut Lautan Hindi yang dalam, yang dingin dan yang ombaknya kadangkala mengunung. Perasaan rindu orang orang yang ditinggalkan samaada semakin mendalam atau semakin menipis. Banyak cinta yang terlepas. Banyak perasaan tertangguh dan banyak harapan yang semakin pudar, hanyut dan berbalam balam.

Demikianlah, kita manusia tidak pernah terlepas dari janji kehidupan. Janji untuk mati. Samaada mati itu dipangkuan bonda atau isteri atau hilang di lautan sunyi, kita tidak pernah pasti.

Posted by: thelope | February 25, 2014

Bertemu Sakak dan Basang di Laut Sulu

Jika angin selatan datang, susah untuk ke tanah besar, ombaknya datang membolak balik, ombak yang berpusing di sekitar dada Celebes mungkin saja datang dari Tarakan, dari Tanjung Selor atau Tanjung Batu atau angin selatan yang riuh itu datang dari Derawan, tempat penyu bermain dibawah lantai rumah. Namun Jaidi tidak pernah gentar, hanya beberapa bulan keluar dari tembuni ibunya, dia sudah jatuh ke laut, terapung, ombak Sulu tidak pernah memberi duka kepada Bajau, ombak Sulu telah mengenal Suluk, Bajau dan Bugis, mereka berkawan.

Sisi Bohey Dulang

Sisi Bohey Dulang

Salim yang menginding untuk diberi ruang memacak beberapa tiang untuk disewa marhaen yang gilakan baracudda atau school of gombing akhirnya memberitahu Kak Nor pada suatu malam yang bulannya mengerinding di pucuk kelapa,”Hj Yusof telah berkenan untuk memberi sedikit ruang pada kita untuk memacak tiang diselang seli Arung Hayat, Billabong dan Chalet yang lain..kita namakan syurga kita itu Seahorse!”. Seahorse akan menghadap Celebes yang luas. Seahorse akan menghadap alam buana terbentang luas dimana di hujung horizon matahari sedikit sedikit melepas lelah dan terbenam diantara awan gemawan yang berkelok kelok dan berantai itu. Kata Salim “kita akan melihat dari varandah ini, lembayung berbagai warna, ada merah, ada oren, ada kuning dan dicelah celah kuning itu ada biru, ada balam, ada kelabu dan hanya seketika semuanya pamit, malam datang dengan misterinya, bulan akan tersipu sipu hadir, dada laut bagai dada pahlawan perkasa yang kembang dan sasa,muncul dari malam dengan alur bayang bulan meniti hingga ke jeti varandah ini, bintang bintang akan ditabur Tuhan melata, dan segenap cerekawala muncul di lensa mata bagai syurga yang tak padam padam”.

Dari puncak Bohey Dulang

Abdul Hakim yang diamanah oleh ACP Ahmad untuk melayari hidup Arung Hayat, membelai, memberi makan semua tetamu datang dari pelusuk planet dunia, dari Quangzhou, dari Shanghai, London, Klang, Sungai Petani, dari Queensland, dari Geylang Serai. Usai dari menjadi Chef kepada King Fadh di Jeddah selama 17 tahun, Abdul Hakim kemudian berkhidmat pula dengan Pendekar Amin Mulia dan hanya setelah itu, ketika badan dimamah usia dan ghoutnya semakin mencabar pergerakkan, Abdul Hakim pulang ke Mabul dan kini hidup dibawah alunan angin Laut Sulu yang mesra dan girang. Dia menghabiskan sisa sisa usia dengan menjaga Arung Hayat, melihat ketam memanjat tiang chalet terapung itu, melihat air pasang surut dan melihat anak anak Bajau Laut mudik ke hulu dan ke hilir di bawah kolong rumah rumah air. Abdul Hakim sentiasa tersenyum, bercerita tentang Kapalai dan Kerapu besarnya.

Anak Bajau Laut

Kata Tony Si Dive Master, Sarjid sudah tidak berkhidmat full time lagi dengan Billabong, sekali sekala bila musim laut cantik dan orang orang seantero dunia datang ke Sipadan, Billabong akan kekurangan Dive Master untuk mengangkut para diver yang beraneka ragam itu. Sarjid akan memberi khidmatnya. Namun Basang masih di Billabong, Basang masih setia mengangkut tong2 nitrox, Basang masih kuat mengampai jaket BCD dan Google, Basang masih ampuh menarik tali bot. Faizal Chok, tuan punya Billabong semakin sibuk. Mereka memacak lagi tiang menghala ke laut, semakin panjang. Aku berdoa agar selepas 5 tahun jika aku mudik lagi ke sini, janganlah hendaknya rumah rumah di atas air sampai ke cenuram tinggi, ngarai laut dalam. Cukuplah memugar Mabul dengan tiang tiang dan rumah rumah. Cukuplah cabulan yang dipaksakan ini.

IMG_1220

Bohey dulang dan Sakak tidak boleh dipisahkan. Jika Sakak tidak melihat deret pulau dan laut biru dari puncak Bohey Dulang, hidup Sakak tidak punya erti. Dari dulu bila Taman Negara Sabah meletakkan Sakak duduk di Bohey Dulang, Sakak tidak mahu kemana mana lagi. Sakak akan menjadi guide untuk ke puncak, seperti pemandu pelancung professional, setiap kali untuk mula mendaki, di pintu pagar denai, Sakak akan memberi penerangan tentang bukit, tentang denai, tentang ular kecil, tentang ulat gongot, hanya selepas itu Sakak yang penuh senyuman itu memulakan pendakian. Ya Tuhan, sungguh indah pemandangan dari puncak Bohey Dulang, peluh dari pendakian 600 meter hilang, angin sepoi sepoi berhembus dan hijau pulau, biru laut, putih awan gemawan yang terapung membentuk lukisan yang tidak mungkin terpadam dari ingatan.

Yang paling menarik perjalanan kali ini ialah menjadi tetamu istemewa Ketua Kampung Mabul, Hj Yusof. Kami dijemput makan malam dirumah beliau, ada ketam, ada Ikan Besar, ada sup tulang, ada sotong dan sayur. Kami ketemu isteri muda beliau dengan anak comel bernama Nurrul. kami berborak, bagaimana Mabul berdikit dikit hidup dan sehinggalah ketahap sekarang. Tentang chalet chalet backpackers, tentang laut dan isi isinya, tentang diver, tentang warga, tentang anak anak, tentang kerajaan, tentang politik, tentang memancing tuna, tentang…..dan malam melarut.

IMG_1258

Seperti mutiara, Mabul terus bersilau dan silauan alamiah itu mereset sekelian resahku.

Pemburu

Pemburu

Older Posts »

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.