Rashid Sabun (bukan nama sebenar) yang sama sama belajar denganku dulu, yang sama sama menyewa rumah besar yang menghadap bukit bukit batu kapur Tambun, yang sama sama bermain gitar dan melalak dengan lagu lagu Black Sabbath dan kumpulan Jepun Loudness, yang sama sama terkena panah arjuna cinta ketika berkunjung saban malam ke bandar Ipoh..Pasar Bulat dan Medan Gopeng, yang sama sama memecut motor dengan laju melewati Tiger Lane….akhirnya menceritakan padaku sesuatu yang ku kira amat menarik dan mengujakan.
Kami terpisah..ya..kerana aku harus menjadi pegawai kadet yang kemudian menjadikan pelayaran sebagai kehidupan, kehidupan yang berjalan saban masa, kehidupan yang bergerak, yang berlayar menongkah gelora dan yang saban paginya atau saban petangnya melihat matahari terjongkit naik atau sipu sipu turun dan tenggelam di birai horizon. Kehidupan yang menemukan kepelbagaian, pelabuhan pelabuhan yang berbeza, kebudayaan, pertuturan dan tanggapan yang berlainan, rupa rupa wajah dan kelakuan manusia, senyum mereka dan penerimaan mereka.
Rashid Sabun membentangkan satu pelan perjalanan yang lama melewati beberapa daerah dan kepulauan. Disamping dia, aku juga harus memulakan projek mengenalpasti setiap point perjalanan, mungkin juga ia tentang keretapi tambang murah, atau becak, atau hostel2 backpacker. Kami akan menitipkan setiap jadual di laman sesawang keretapi atau bus atau kapalterbang tambang murah dan membuat perincian demi memenimunkan kos. Disamping itu…ya sudah pasti mengintai peluang2 untuk terjun ke lantai laut, mendaki gunung2 tinggi untuk meriba awan atau juga menghulu sungai sungai jernih membelah hutan hujan yang perawan.
Kata Rashid Sabun lagi…kita harus hidup dalam perjalanan ini berasaskan kehidupan local selocal localnya, kalau nanti kita harus berdiri tanpa seat untuk 7 jam dengan gerabak murah, maka itu harus sahaja kita terima dengan hati girang. Kalaupun Rashid Sabun tidak memberitahuku tentang perkara itu, aku tentunya lebih ‘alamiah’ dari dia barangkali, hehe.
Aku mencatat gelung gelung kecil di kelendar kuda, yang pastinya berpergian dalam hari hari yang banyak akan dihalangi oleh tugas2 rutin majikkan. Namun tentunya aku bisa melepasinya berbekalkan keterujaan dan semangat yang kuat. Rashid Sabun memahami diriku bagaimana.