Posted by: thelope | November 22, 2011

Bonai, Apek dan Gelora Bung Karno

Ketika itu Gelora Bung Karno bagai terbius…gelora itu pindah ke berpuluh juta khalayak. Burung burung yang terbang terhenti dan jatuh. Angin berhenti berhembus dan daun daun kuning yang berhajat untuk terpisah dari ranting dan jatuh melayah menangguhkan detik itu. Kesenyapan itu bagai memberi waktu untuk mereka (para hubaya yang berdiri bagai di medan perang demi mempertahankan maruah Negara tercinta) mendengar detak jantung mereka sendiri.

Detik terbiusnya alam itu bukan hanya berlaku di Gelora Bung Karno malah serata seluruh bahagian selatan bumi yang dipanggil Nusantara ini. Terhentinya alam seketika itu jua dialami ribuan pulau dari Pulau Bunaken yang karangnya bagai syurga itu nun jauh di utara Sulawesi membawa ke Pulau Weh di Sabang yang sesekali diberitakan syurga pari besar tersesat dari Hindian Ocean. Dari Raja Ampat, Papua tempat lahirnya Titus Bonai, laut alamiah dengan ribuan nudibranch seperti kuda laut yang beraneka kemudian membawa ke Sipadan dimana penyu melayah dan dinding pulau adalah syurga karang biru dan kuning. Kemudian dari Lang Tengah Pulau Redang membawa ke Langkawi bersambung dari Tioman tersendak di Tanjung Piai. Begitu luasnya alam terbius.

Baracudda tidak menjelma dan nemo terus menyorok di dalam rimbun soft coralnya, tidak keluar keluar lagi.

Ketika Badrol Bakhtiar meledak tendanganya, rumput rumput yang mengonggot sepatu bolanya terhambur bercempera dengan tanah dan pasir Gelora Bung Karno. Rumput rumput itu terbang, berhamburan dan kemudian melayah jatuh semula. Ketika itu peluh yang mengalir turut terpercik, percikkan itu bertebaran, terhambur dan kemudian jatuh ke rumput rumput Gelora Bung Karno dan kemudian mereka bersatu dengan lecak dan bobrok medan padang Gelora Bung Karno.

Ketika titik peluh terakhir Badrol Bakhtiar jatuh ke rumput (yang mana alam masih terbius), bola sudah benar benar di depan Kurnia Meiga, sesaat menyentuh, cuba mendakap namun barangkali kerana bola itu bulat atau bola itu basah atau bola itu berpusing atau juga kaki Badrol Bakhtiar memang memaksimakan seluruh energy lalu meletuskan letusan yang entah bagai Merapi atau Krakatau itu akhirnya Kurnia Meiga tidak mampu…………..dan………..

Bola itu melantun…satu lantunan ke atas…..kemudian jatuh ke rumput….lantunan kedua ke atas dan kembali ke rumput dan….meleret….leretan bola itu juga adalah leretan paling pilu…diantara yang terpilu buat seluruh rakyat Indonesia. Biarpun mereka sudah dewasa dengan segala kepiluan yang barangkali datang dalam bentuk musibah alamiah namun kepiluan kali ini amat terasa. Leretan bola yang dengan santunnya menyapa garisan gol itu meluruhkan jiwa mereka, melayahkan semangat mereka yang 100 minit terdahulu penuh gah dan bagai perwira berkuda dengan panah dan bosur di medan perang. Alam terus terbius bagi dunia belah Indonesia namun bagi dunia belah Malaya, dari keadaan terbius dan bagai berhibernasi kemudian secara tiba tiba seperti dari titik kosong kehidupan itu menjadi mendadak bergegar ke titik sejuta. Jika dilukis graf : kadar kegirangan dengan masa, ia hampir menunjukkan satu garisan tegak yang menonong.

Kepiluan, kekesalan, kegirangan, kepuasan dan kenikmatan bercampur baur di Gelora Bung Karno dan seluruh Nusantara. Di ruang tamu di flat kos rendah di PPR Lembah Subang, kulit kacang menglembu bertaburan di lantai. Di Yogja, Pak Gunawan tidak akan mengayuh becaknya esok hari, dia mengumumkan esok hari sebagai hari belasungkawa.

Advertisement

Responses

  1. Kesian laa Pak Gunawan, ‘ntah berkabung berapa hari agaknya dia… bola punya pasal kok hidup pun bisa aje buat jiwa berantakan … waduuuh … tragis eh!

    Nah, pedulikan kemenangan pingat emas anak anak buah si Ong kemarin itu. Ni… perlawanan malam baru lalu dengan Bahrain… aiseyymaaan, apecer (baca: apa cerita)? Buatlah cerita baru Bang Lope, tentang terbiusnya ngauman harimau satu Malaya atas kekalahan yang sangat tidak patut berlaku! Ya, giliran harimau muda pula berkabung… !

    Begitu hebat penangan sebiji bola bulat ke atas kehidupan manusia. Sesungguhhya kehidupan manusia juga seperti perlawanan bola – ada cabaran dan rintangannya untuk mendapatkan gol/matlamat yang manusia impikan – namun untuk merealisasikan impian itu, manusia perlulah bersedia mengikut peraturan alam yang telah ditetapkan.

    Padang bola juga barangkali adalah syurga bagi sebagian manusia. Namun Syurga di dasar laut? O-la-la… bayangkan batu karang beraneka rupa dan rona menjadi hiasan laut dalam, serta segala macam jenis ikan memperagakan warna warni setiap susuk tubuhnya kepada penglihatan manusia… lalu kemilau warnanya memantul mantul apabila diintai cahaya mentari yang gah mencuri masuk ke ruang dalam samudera hingga ke dasarnya… Subhanallah!

    Alahai, melalutlah pulak saya ni. Tersasul bicara hingga ke laut Pasifik :D

    Salam Bang Lope, salam tahun baru Hijrah 1433. Moga salam bertamu salam berpanjangan walau hanya maya. Dalam hidayah dan perlindunganNya jua sepanjang tahun ini. Wassalam.

  2. hahaha..terbius rupa rupanya perkara biasa. Dalam hidup kadang kadang bukanlah soal siapa terbius tetapi bagaimana menghadapi saat saat getir dan bagaimana menerima hakikat, belajar dari kekurangan dan teguran . dan untuk mereliasasikan impian pula adakalanya manusia sendiri tidak jelas peraturan alam yang bagaimana, :)

    Dasar laut pula adalah dunia yang lain…walaupun saya tenggelam dalam asyiknya, walaupun setiap kalinya mahu memejamkan mata, ikan ikan dan karang karang hadir mengitari ruang, saya tetap ingat tentang oksigen level dan kadar arus, tetap ingat akan kedalaman selaman agar bisa muncul semula di muka air dan kembali bernafas seperti biasa.

    Samaada di tengah padang atau di lantai laut, alpa akan menghukum kita tetapi apalah yang lebih penting selain memburu keindahan kerana keindahan itu Tuhan jadikan melata lata di muka bumi guna memberi manusia rasa gumbira, ceria dan bersyukur atas nikmat.

    Salam tahun baru juga buat Bunga,
    dan seperti biasanya kita inginkan dan berdoa yang mulok mulok belaka… agar semua itu ditemukan Tuhan.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.