MV Rimba ketika itu menyusur lautan terbuka musim dingin. Perlahan lahan dan di luar penuh camar yang melayah dan bertenggek di dek haluan. Sekali sekala salji melebat dan mereka jatuh di atas dek, di atas mast light, di atas gangway dan life boat, di atas crane, di atas funnel, mereka jatuh seperti jurai jurai sampah putih bertabrakkan sebelum menjadikan crane house seperti hantu bungkus berselimut putih yang bertenggek di atas dek. Dingin yang amat ketika itu. Selsema yang cair dan jernih kerap meleleh tanpa disedari. Bibir keras dan bila bercakap mulut terherot seperti orang terkena angin ahmar. Bila angin lautan pacific menerjah kasar, telinga bagai terputus, amat dingin. Chief Mate segera memberitahu Bosun yang kerja kerja di dek harus dihentikan. Able Seaman dan Ordinary Seaman harus berkerja di dalam sahaja. Ramadhan ketika itu semakin ke tepi. Sambil Able Seaman Lubis menyapu grease hitam pada lengkar wire rope di bilik steering, ada rintik airmata jatuh setitis setitis, basahnya merebak di atas baju overall kuningnya. Dia teringat bondanya yang sudah pergi…dia teringat kekasih yang pamit…dia teringat masa masa kecil…lemang, belulok, rendang ayam campur pucuk maman, dia teringat surau kecil tepi sawah.
Ordinary Seaman Yusof dan Rosli Tanjung Keling mula mengeluarkan karpet surau di dek 3. Semua anak kapal akan nanti bersolat sunat hari raya. Lantai di mob, langsir surau yang kusam yang menutup manhole cabin dan pandangan horizon laut dan langit dibasuh semula. Sempat juga Rosli membaca sebuah sajak yang ditulis entah kelasi mana tertampal renyuk di dinding:
Aku mencari Mu Tuhan
disetiap malam dan disetiap siang
untuk ku adu gelisah tak tertahan
aku ini camar tak bersayap, hanyut
aku ini ikan tak bersirip, sesat
aku ini kapal tak berkemudi, hilang
Aku mencari Mu Tuhan
disetiap malam dan disetiap siang
temukan doaku
pandulah layarku.
Suasana pagi pertama syahwal di isi takbir raya bergema di setiap sudut dek. Semua kelasi hadir kecuali Greaser Mat Som dan Pump Man Deris Bujang. Kata Bosun, kedua duanya tidak bisa bangun, mereka melantak arak barangkali habis satu drum.
Ketika takbir raya bergema, di luar kapal, salji masih turun seperti juraian sampah sampah putih jatuh bertabrakkan dari langit. Kapal masih menyusur laut terbuka yang berkabus. Gegaran enjin sekali sekala terasa, getaran getaran itu kemudian seperti juga getaran getaran rindu, bergetar dan bergetar.
Assalamu alaikum Bang Lope, lewat benar ziarah Aidilfitri saya. Agaknya duit raya pun dah tak ada … eh, baru teringat … memang saya tak layak pun dapat duit raya kan? … huhuhu
Tak mengapalah, asalkan ketupat rendang dan kuih raya masih ada, juga sirap selaseh
Errr, barangkali juga balang balang kuih sudah disimpan semula di dalam setor!
Begitulah orang orang menyambut Hari Raya di mana pun berada. Ia menjadi satu kemestian untuk memastikan segalanya bersih, kemas, dan teratur … biar ringan mata memandang dan enak hati merasa seadanya apa yang ada. Itulah panggilan rohani yang cukup utuh menyambut seruanNya untuk meraikan kemenangan.
Selamat Hari Raya Bang Lope sekeluarga. Mohon diampuni dan dimaafi kata kata saya yang kurang disenangi selama setahun ini mengomen-ngomen di sini atau di blog saya
Aiseymen, hampir terlupa pulak En. Lope … kan saya dah dinaikkan pangkat! So, ada bonus raya tak tahun ni?
By: Bunga Rampai on September 20, 2011
at 3:12 pm
Wsalam Bunga, Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin,
Cerita di atas adalah sebuah pengalaman lama, tidak banyak orang tahu barangkali bagaimana manusia2 di atas kapal menyambut hari raya.
Lebih banyak kesedihan dari kegembiraan kerana mereka jauh dari tanahair, hanyalah kerinduan yang menyambung ikatan kalbu.
Apalah yang ada pada perantau melainkan getar ingatan kepada tempat sendiri, dulu tak ada internet, tak boleh baca email, tak boleh tweet, tak ada fesbuk maka yang ada hanyalah surat surat yang di kirim dan di setiap pelabuhan, pelaut akan ternanti nanti surat surat dari orang2 yg disayangi dan jika tiada…sob, sob, sob!
Banyak lagi di merata dunia ini cara orang menyambut idulfitri, entah bagaimana ya rakan2 di Somalia yg berjalan ratusan kilometer di siang siang ramadhan demi mencari sesuap makanan. Orang2 miskin di Bangladesh, orang2 yg berperang di Libya atau Afghanistan.
Kalaulah kita dapat mendekati cerita2 yang tersembunyi ini ia tentulah sangat menarik.
:
Bunga,
Tiada salah dan silap dari Bunga malah komen komen you membuatkan blog ini kelihatan seperti mempunyai pembaca. Berlainan saya yg selalu gagal menulis yg mulok mulok saja, minta maaf jika ada hal2 yg mengecilkan hati.
Mengenai bonus kenaikan pangkat, ianya akan banyak bergantung kepada EBITDA 2011 ni..:-).
By: thelope on September 28, 2011
at 3:43 am