Kita tidak selalu dapat melihat bulan dan bintang bintang kerana kita tidak pun kisah akan mereka namun sesekali melihat jauh ke langit sana dikala malam, alangkah indahnya, kelip kelip merata tergantung di mayapada. Malam ini aku disedarkan anak ku Abdul Haq akan keindahan bulan dan bintang bintang tersebut ketika kami berjalan pulang dari surau pada malam ramadan yang kesepuluh ini. Kami terleka, betapa besarnya alam ini dan betapa luasnya galaksi galaksi hingga aku tidak dapat menjawap soalan anak ku akan dimanakah sempadan langit itu, ya..dimana?
Zaman kecil di kampung aku merasa sangat hampir dengan bulan dan bintang bintang. Kami melihat bulan dari tempat tidur kami, bulan sering tersangkut diantara lubang di para para bumbung. Kami melihat bintang bintang yang beraneka dari serambi tangga. Ketika pulang dari mengaji. Ketika tidur di pondok dusun durian. Ketika memancing di tali air baruh bersempadan sawah. Kami sering melihat bulan di pucuk kelapa. Kami sering menunggu bulan keluar dari gerombol awan dan adakalanya kami melihat ada garis bulat maha besar disekeliling bulan yang kemudian garis itu hilang perlahan lahan ketika malam melarut.
Adakalanya bulan muncul dengan saiz yang besar hingga cahayanya jatuh melimpah ruah di pucuk padi yang berombak. Ketika itu kami nampak bayang bayang burung malam yang melintas. Kami nampak orang orang yang dipasang abah ditengah sawah turut menari nari. Aku masih bagai mendengar Pak Cu Aris bermain gitar dengan lirik lagunya:
malam terang bulan
bintang bintang berkelipan
angin mendayu terasa bagai di syurga…
Paling akhir kami melihat bulan dan bintang bintang yang sangat ketara indahnya ialah ketika kami berbaring di pangkin tepi kolam renang di sebuah resort di Bali. Kata Abdul Haq, dia bagai mahu terbang diantara bintang bintang tersebut dan memungutnya satu satu untuk dibuat mainan.
Dikala sudah begini dewasa aku sering sahaja lupa untuk melihat ke langit, untuk melihat bulan dan bintang bintang. Hidup sangat laju dan kita sering melupakan sesuatu yang dapat memberi ketenangan dan santapan kepada kalbu.
Aku ingin pulang ke kampung dan tidur di pondok dusun durian, maha dengar nyanyian cengkerik, mahu dengar deruan angin yang memilukan di rumpun buluh, mendengar alir sungai kecil dan bunyi rengek ayam yang tidur.
..dan ketika pagi tiba, aku mahu mendengar kokok ayam yang riuh dan bersahut sahutan, aku ingin mendengar azan dari surau kecil dan berwuduk dengan air kolahnya yang dingin.
“Kata Abdul Haq, dia bagai mahu terbang diantara bintang bintang tersebut dan memungutnya satu satu untuk dibuat mainan.”
Bertuahnya badan, usia semuda itu sudah punya ‘rasa’ yang tinggi melangit, sudah pandai berkasih dengan alam! Moga ‘rasa’ itu dipupuk lalu satu hari nanti mudah mudahan menjadi ‘ilham’ yang bakal menebarkan nur kasih ke seluruh alam buana.
Salam Bang Lope.
By: Bunga Rampai on August 15, 2011
at 4:13 am
Salam Bunga,
Dia mula menjadi saya, suka hutan, laut dan gunung. Dia juga seorang pelukis, cuma dia sedikit romeo, tidak seperti ayahnya..:)
Balik Kg raya ni?
By: thelope on August 15, 2011
at 3:39 pm
Bahaya kalau tak balik Bang Lope. Nanti saya dicop anak derhaka!
By: Bunga Rampai on August 24, 2011
at 4:40 pm
Salam Lope
Semoga dapat mengetam buah-buah pada ranting-ranting Ramadhan yang masih sarat dengan habuan. Meskipun tinggi di puncak, tapi pasti dapat dicapai.
Didoakan baik segala-galanya
By: ku keng on August 25, 2011
at 1:03 am
Bunga,
Salam saya pd keluarga.
Bro Keng,
Saya mengosok mata beberapa kali, betulkah Bro Keng kali ini? alhamdullilah, setelah beberapa purnama menghilang akhirnya menjelang aidilfitri ini bro kembali, benarlah bro, menjelang akhir2 ramadhan ini penuh dgn habuan2 yg semakin sarat, muga2 momentum ini berterusan ke syahwal dan bulan2 seterusnya, insyaalah.
By: thelope on August 26, 2011
at 1:01 am