Ramadan datang semula. Wan Kiah kembali sibuk. Peniaga lauk pauk pasar ramadan Jalan Ketiting 1 ini harus memastikan jam 2 petang semua lauk pauk dan segala macam sambal dan sayur akan ready untuk diangkut ke tapak pasar. Menjelang jam 4 petang, dia yang dibantu Neng Susanti akan tak menang tangan melayan segala macam pelanggan yang datang dengan mata kuyu, penat dan kelihatan benar benar lapar. Kebanyakan pelanggan akan bebinar mata mereka apabila melihat pari masak asam Wan Kiah sambil menelan beberapa kali airliur. Bau sambal udang petai, daging salai lemak cili padi, kari lembu dengan kentang, ayam masak merah, ikan sumbat akan bercampur baur lalu berahi aroma tersebut bersimpang siur singgah ke hidung para pelalu lalang yang kelaparan. Menjelang jam 6 setengah petang, Wan Kiah terpaksa menyendengkan periuk untuk menyenduk sisa sisa baki kuah asam kepada pelanggan terakhirnya petang itu. Hari yang sama berulang, para pelanggan yang kelaparan, yang datang dengan mata kuyu seperti ingin membeli semua juadah yang terjual hatta tauge goreng tauhu ikan bilis pun licin. Ramadan telah menjadi pesta makan makan dan kerajaan yang prihatin turut menghebahkan dalam kempen pelancungan mereka akan pesona kueh mueh dan lauk pauk yang beraneka rasa tersebut. Bagi Wan Kiah sendiri, jauh dilubuk hatinya telah terpahat kukuh akan target yang harus dicapai menjelang senja ramadan terakhir nanti ialah RM 15,000.00, dia akan senang hati pulang ke Bachok berhari raya, tidur enak enak dikerusi empuk Naza Ria sambil suaminya sibuk memandu. Lagu Maher Zin..”insyaAllah…insyaAllah…insyaAllah” akan mengiringi mereka melalui selok belok hutan banat Merapoh.
Ramadan kali ini datang dengan diiringi musim durian luruh. Bakar Timun melihat keadaan ini sebagai hujan emas. Kelaparan akan mendesak selera para manusia muslim Tremelbye ini menjadi bermacam macam. Pengat durian, pulut cecah durian, patin gulai tempoyak, talam durian, empuk empuk dan segala aneka makanan berasaskan king fruit ini akan segera terpacul dan bisa juga membuatkan manusia manusia kelaparan ini menelan lagi air liur entah untuk yang ke berapa kali. Bakar Timun yang memunggah durian yang katanya dari Perak ini akan tersadai dengan lori satu tan nya di sudut People Park bermula jam 12 tengahari membawa ke pukul 11 malam. “alah..tarawih tu sunat jerr..” kata Bakar Timun kepada Parjo, pembantunya. Parjo hanya tersengeh, tiada pilihan dia terpaksa mengangguk saja kata kata towkey nya.
Mat Kasab si penjual kurma juga asyik dengan calculatornya. Seusai tarawih dia kembali mengira jumlah kotak yang terjual pada setiap petang. Kurma tangkai Tunisia nampaknya lebih laku dari kurma kotak Bam. Satu kotak besar ada 12 peket yang dibelinya dengan harga RM 9 sepeket dan dijual RM 15 sepeket, jika kotak besar habis dalam 3 kotak sepetang maka jumlah untung..eerr..6 X 12 X 3..err,,tup tap tup tap..dia menekan semula kalkulatornya, kalau kurma Bam, sekotak ada 12 peket, beli RM6 sepeket, jual RM 10 sepeket..errr…tup tap..tup tap…..malam malam ramadan berterusan dan di dalam minda Mat Kasab hanyalah kurma tangkai Tunisia, kurma Bam, jenama Amina Yusuf Taiyubb dan berbagai bagai jenama lagi. Dia pun lupa bahawa selepas malam ke 15, witir dibaca dengan qunut..dia terus turun untuk bersujud.
Jauh di benua belah sana, penentang penentang Gadaffi berperang dengan kelaparan. Ramadan disambut dengan kegetiran perang dan pertelingkahan politik yang tak kunjung usai, sesama Islam, yang mempunyai Tuhan yang sama, Tuhan yang satu iaitu Allah, mereka berbunuhan. Setiap pihak melaungkan kebenaran. Api kemarahan membakar segalanya, baik rumah, baik ladang, baik kilang, Ramadan tidak dapat membendung amarah, benci dan khianat. Ramadan tidak dapat memutikkan kesabaran dan keamanan.
Di Syaria, Ramadan kali ini menyaksikan peningkatan rakyat yang terbunuh kepada hampir 2000 jiwa. Ramadan tidak mengencatkan senjata dan peluru. Pertelingkahan sesama Muslim terus berkembang. Kegilaan kepada kuasa dan pangkat tidak terpadam.
Di Pakistan, letusan2 bom tidak berhenti, sesama Islam terus berbunuhan. Jiwa terus kasar dan rohani tidak terpelihara. Di Iraq…di Mesir…di Afghanistan…di Somalia…..,
Di Tremelbye, Wan Kiah terus meningkatkan sosio ekonominya, Bakar Timun, Mat Kasab…keamanan dan kemakmuran kadang2 juga membuat kita terlalai. Tetapi alangkah indah malam malam di sini, di Masjid Al Rahimiah tak cukup ruang untuk memakir kereta. Makanan melimpah ruah, more penuh dengan jamuan lazat. Sembahyang penuh selesa, penghawa dingin terpasang di dewan solat.
Alangkah indahnya Ramadan.